Jakarta, TrenDetik.COM, Jumaat, 11 Julai 2025 – Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan katering dan makanan halal yang berpusat di Makkah, Arab Saudi, secara rasmi menyertai International Islamic Expo 2025 yang berlangsung di Assembly Hall, Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Senayan, dari 11 hingga 13 Julai 2025. Ini merupakan penyertaan pertama Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia) dalam pameran perdagangan Islam terbesar di rantau ini, yang membawa tema “The Largest Muslim Market in the World – The 15th Islamic Tourism Exchange”.

Menurut Pengurus Besar Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia), Fakhrul Azuan Hashim, kehadiran mereka dalam ekspo ini adalah satu langkah strategik untuk memperkenalkan keupayaan mereka dalam menyediakan perkhidmatan katering berskala besar, khususnya kepada jemaah haji dan umrah dari pelbagai negara termasuk Indonesia.

“Ini adalah penyertaan pertama kami dalam acara ini dan kami melihat potensi besar untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dari Indonesia. Dengan kapasiti penyediaan sehingga 37,000 hidangan setiap hari di Makkah — termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam — kami yakin dapat memenuhi keperluan jemaah dalam jumlah yang besar,” katanya.

Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia) telah menjalin kerjasama strategik bersama Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH Limited) Indonesia serta rakan tempatan mereka, PT. Fursan Rich Global (Fursan Group) yang beribu pejabat di Kemayoran, Jakarta Pusat. Kerjasama ini bertujuan untuk menyokong penyediaan makanan halal berkualiti tinggi kepada jemaah haji Indonesia secara lebih cekap, tersusun dan mematuhi garis panduan syariah.

“Kami telah beroperasi lebih 17 tahun dalam sektor ini, bukan sahaja di Makkah tetapi juga di Malaysia, di mana kami menjalinkan usahasama dengan hospital, sekolah berasrama dan platform luar pesisir. Kami turut menyediakan makanan khas mengikut keperluan diet, contohnya bagi pesakit diabetes yang tidak boleh mengambil gula,” jelas Azuan.

Di Malaysia, rangkaian Irkaz juga merupakan rakan kepada pelbagai institusi termasuk hospital kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, malah kini dalam proses menjalinkan kerjasama dengan Tabung Haji Malaysia. Dalam sektor kesihatan sahaja, Irkaz Gourmet kini menyediakan makanan kepada lebih lima buah hospital dengan kapasiti sehingga 1,300 pesakit setiap hari. Menu makanan disediakan khas oleh pasukan pakar pemakanan dan disesuaikan mengikut keperluan individu.

Irkaz Gourmet turut menyediakan lebih 30 jenis menu diet sihat yang dirangka khas oleh pakar pemakanan bagi memenuhi keperluan nutrisi individu. Antara diet yang disediakan termasuk untuk pesakit diabetes, rendah garam, rendah lemak, hemodialisis, vegetarian, makanan lembut, kanak-kanak (6 bulan hingga 12 tahun), ibu mengandung serta diet terapi khusus seperti blenderised, dysphagia, dan rendah purin. Semua hidangan disediakan mengikut standard hospital dan keperluan klinikal, sambil mengekalkan status halal dan rasa autentik.

“Dengan keupayaan dapur pusat kami di Makkah, kami dapat menyediakan menu mengikut permintaan pelanggan — sama ada citarasa Malaysia, Indonesia atau antarabangsa. Fleksibiliti ini memberi nilai tambah, khususnya kepada agensi pelancongan haji dan pihak berkuasa yang menguruskan jemaah dalam jumlah besar,” tambah beliau.

Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia) juga menyasarkan kerjasama jangka panjang dengan lebih banyak pihak dari sektor awam dan swasta di Indonesia, termasuk agensi pengendali ibadah haji, penyedia penginapan, hospital serta institusi pendidikan. Mereka turut mengundang pihak berkepentingan dari Indonesia untuk melawat fasiliti dapur pusat Irkaz di Makkah sebagai langkah awal ke arah kolaborasi yang lebih mendalam.

“Kami amat menghargai kerjasama dengan BPKH Limited yang memberi keyakinan kepada kami untuk terus membina rangkaian kukuh bersama Indonesia. Kami bersedia menyesuaikan struktur operasi kami mengikut peraturan tempatan serta keperluan khas jemaah Indonesia,” ujar Azuan lagi.

Melalui penyertaan dalam International Islamic Expo 2025, Irkaz Gourmet Saudi (Malaysia) memperlihatkan komitmen mereka dalam membangunkan ekosistem perkhidmatan makanan halal yang menyeluruh dan mampan, sejajar dengan peningkatan jumlah jemaah haji dari Indonesia saban tahun.

Kiriman serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *